Jumaat, 29 November 2013

Rombongan ke Taiping 2013!

Assalamu'alaikum dan Salam 1Malaysia!

Baru-baru ini (pada 23 November 2013), TMK telah mengadakan satu rombongan ke Taiping yang dianjurkan oleh Pengurusan Kawad Kaki SK Sungai Binjai, Meru Klang. Seramai 30 orang ahli TMK telah menyertai rombongan pada kali ini. Bermacam-macam aktiviti telah dilakukan seperti melawat Zoo Taiping, menaiki bot di Kuala Sepetang dan bermacam-macam lagi.

Jumaat, 22 November 2013

TAIPING - SILA AMBIL PERHATIAN!

Assalamu'alaikum dan Salam 1Malaysia,

Esok pagi jangan lupa datang ke sekolah sebelum jam 7 pagi. Kita akan bertolak pada jam 7.30 pagi (bergantung kepada keadaan cuaca). Sila pakai baju Klang (biru) atau baju sukan sekolah jika tiadak mempunyai baju Klang (biru). Pakai dengan seluar sekolah serta kasut yang sesuai (tak semestinya kasut sekolah).
Sila bersarapan dahulu di rumah dan jangan lupa bawa air mineral saiz besar.
Bawa barang2 yang sedikit serta mudah dibawa untuk 2 hari 1 malam. Jikalau ada membawa handphone, tablet dan sebagainya, sila beritahu kepada cikgu. Kecuaian dan kehilangan adalah tanggungjawab sendiri. Sila beradab sopan ketika berada di tempat orang.
Kita akan ke Kuala Sepetang dahulu sebelum ke Taiping. Beberapa aturcara telah kami tetapkan dan sila beri kerjasama untuk memastikan rombongan ini berjalan dengan lancar.

Khamis, 31 Oktober 2013

JEMPUTAN KHAS!

Assalamu'alaikum wbt, dan Salam 1Malaysia.

Pada 31 Oktober 2013 (Khamis), Team Mujahid Kecil telah berbesar hati menerima undangan khas persembahan demo kawad kaki yang bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pandamaran A (SJKC PA), Pandamaran. Guru Besar SJKC PA, Puan Lim Siok Hui telah berbesar hati menerima kedatangan kami dan telah melayan kami dengan baik sepanjang kehadiran kami ke sekolah beliau.

Kedatangan kami sebenarnya adalah melalui jemputan GPK Ko-Kurikulum SJKC PA, Pn. Chiu yang telah melawat SK Sungai Binjai semasa program pembelajaran beliau di Institut Aminuddin Baki (IAB) pada bulan Ogos lalu. Beliau telah memilih Pasukan TMK untuk beliau kaji dan sedikit sebanyak menimba ilmu pengurusan di SK Sungai Binjai.

Kedatangan Pasukan TMK ditemani oleh GPK Ko-Kurikulum SK Sungai Binjai, En. Khalimi M Dalhan, menggantikan En. Husni Darus yang terlibat dengan sistem pengurusan kualiti sekolah.






Sekali lagi kami ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi mempelawa kami membuat persembahan di SKJC Pandamaran A!

Khamis, 3 Oktober 2013

Hari Anugerah Kokurikulum SK Sungai Binjai.

Assalamalaikum dan Salam 1 Malaysia,




Pada hari Jumaat, 4 Oktober 2013 telah berlangsung satu acara khas iaitu Hari Anugerah Kokurikulum SK Sungai Binjai, yang bertempat di Dewan Bistari SKSB. Team Mujahid Kecil telah berjaya merangkul Anugerah Unit Beruniform Terbaik melalui unit Pengakap. Salah seorang ahli TMK iaitu Muhammad Naim b. Norazam telah berjaya merangkul Anugerah Tokoh Kokurikulum (Lelaki).

Jurulatih Utama TMK iaitu En. Muhammad Fahmy Anuar b. Ruslee telah hadir dan telah di anugerahkan Penghargaan Khas dari pihak sekolah. Walaupun masih lagi mengalami luka dan kecederaan kecil akibat kemalangan jalan raya kecil pada Ahad lalu, beliau masih lagi ceria dan bersemangat menghadirkan diri sempena majlis anugerah kokurikulum pada tahun ini.

 Diharapkan agar kecemerlangan ini akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dengan merangkul lebih banyak kejayaan dan terus berusaha gigih.

Isnin, 2 September 2013

Perkhemahan Unit Beruniform Tahun 5 2013

Assalamu'alaikum WBT~

Wokeh, kali ni cikgu nak ceritakan sikit mengenai penglibatan Team Mujahid Kecil dalam Perkhemahan Unit Beruniform Tahun 5 yang diadakan pada 30-31 Ogos 2012. Team Mujahid Kecil telah dijemput untuk mengadakan persembahan di Tapak Komuniti Kampung Budiman, Meru yang disaksikan oleh penduduk kampung dan juga tetamu undangan dari SK Convent (1) Klang.









Team Mujahid tahun 6 yang hadir hanya Akmal seorang sahaja...ala, tau la korang nak UPSR, takkan kawad sikit pun dah tak nak join. Korang kat rumah pun bukan belajar sangat, heheh~

Rabu, 28 Ogos 2013

UPDATES!!

Assalamu'alaikum wbt.

Apa khabar semua ahli team? Sihat? Alhamdulillah~

Pertama sekali tahniah kerana terlibat dengan penggambaran Kids On Two bersama pihak Airtime Services Sdn. Bhd. untuk tayangan di RTM TV2. Mintak maaf sekali lagi kerana cikgu tidak dapat bersama kerana menemani ayahanda cikgu di hospital.

Baik, untuk kali ini cikgu telah membuat beberapa penambahbaikan pada blog ini. Ruangan seperti "Mengenai Kami", "Senarai Pencapaian", "Strategi Pengurusan" dan "Galeri Kenangan" telah cikgu updatekan dan bolehlah dirujuk.

Pada minggu ini juga Team Mujahid Kecil akan dinilai oleh Puan Chia, Guru Besar Sandaran dari SJK (C) Pandamaran A sebagai tajuk kerja kursus beliau di Institut Aminnudin Baki. Sehubungan itu semua ahli team hendaklah bekerja sama dengan beliau sehingga hari Sabtu ini.

Pada hari Sabtu (31 Ogos 2013), Team Mujahid Kecil dijemput untuk membuat persembahan di Kampung Budiman sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Harap semua ahli team dapat menyiapkan diri dengan pakaian dan kasut.

Mengenai sijil peringkat Kebangsaan, cikgu akan sedaya upaya mendapatkan sijil tersebut dan in sya Allah semua ahli team boleh mendapatkan sijil tersebut selepas bulan September (atau Oktober).

Sehingga berjumpa lagi.
-Cikgu Fadzreeq-

Ahad, 14 Julai 2013

Dataran Itu...


Dataran itu 

Sudah tiba waktunya,
aku melangkah ke dataran itu,
sudah tiba saatnya,
aku berada di dataran itu,
Suatu keadaan yang kontras,
Dari Kehangatan merata,
Ke kedinginan yang menerpa,
Juga denyut nadi yang bertambah laju,
runsing dalam keterujaan,
risau dalam ketidaksabaran,
Bunyi itu datang sekali lagi,
Seperti derapan kaki kuda-kuda perang,
Bunyi itu datang dalam keadaan yang pelbagai,
aku semakin maju ke ruang itu,
terlalu kerdil aku di sini,
aku bukanlah seorang pejuang,
aku sekadar Sang Pemberi Semangat,
kepada mereka,
mereka itulah mujahid kecil,
Andai Kalian membaca warkah ini,
yakinlah aku akan bersama kalian,
Dengan izin-NYA, aku akan genggam tangan-tangan kalian,
untuk menggegarkan dataran itu,
Biar apa pun keputusannya,
Aku tetap bersama kalian,
Kini sudah tiba waktunya,
Kita pahat sejarah baru,
kita takluk jajahan baru,
di dataran itu,
Bila sampai waktunya,
kita berada di pentas tertinggi,
In Sha ALLAH,
Dengan izin-NYA,
kita akan takluki,
Dataran itu....


HAFIFI MUNTASIM
-5 RAMADHAN 1434 H-

Sabtu, 13 Julai 2013

SALAM PERKENALAN.

SALAM PERKENALAN buat semua pembaca blog ini. Blog ini akan memaparkan perkembangan pasukan kawad kaki Team Mujahid Kecil dan bertindak sebagai tempat catatan untuk tatapan semua peminat pertandingan kawad seluruh Malaysia. Kami tidak akan membincangkan mengenai formasi dan strategi pasukan di sini, hanya sekadar catatan perkembangan pasukan dan aktiviti kami.

Kami berharap agar kami dapat menjadi motivasi kepada semua pasukan sekolah yang berminat untuk menceburi bidang kawad kaki yang agak mencabar dari segi mental dan fizikal. Dan lebih-lebih lagi ianya melibatkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Semoga blog ini bermanafaat buat semua. Wallahu'alam.